Sunday, January 22, 2012

Peringatan Yang Bukan Biasa-biasa ...

Saya jujur mengakui yang saya memang memilih didalam 'memberi'. Tidak mudah untuk mengakui hakikat, tetapi saya memang selalu menilai 'yang meminta' terlebih dahulu sebelum 'memberi'. Kedekut atau tidak, saya banyak terpengaruh dengan pengalaman sendiri yang dilalui dan membuat kesimpulan kerapkali tertipu dengan 'peminta sedekah' dan 'orang susah' di Kuala Lumpur yang macam-macam 'fe'el' nya. Lama-lama saya jadi 'memilih' untuk membantu dan kerapkali berusaha meyakinkan diri bahawa saya perlu benar-benar pasti bahawa saya memberi kepada yang 'benar-benar perlu'.

Apabila berdepan dengan situasi 'Memilih Untuk Membantu', saya sekali lagi terperangkap dalam ruang lingkup pemikiran dan keperluan yang serupa. Betulkah lelaki ini perlukan bantuan?


Jadi tersentak dengan kata-katanya ...

"Macam nilah, trust me as your muslim brother. Borrow me the money and give me your account number. I will return to you the money today …"

Saya  akhirnya memutuskan untuk membantu. Mengeluarkan wang dan menyerahkan kepada beliau. Sedikit tidak saya terfikir bahawa saya menyerahkan dengan 'hati yang berat dengan penghakiman dan desakan untuk pasti bahawa dia memang benar-benar perlu dibantu'.

Kami bersalaman dan masing-masing berlalu pergi. Dia dengan rasa besar hati dan syukur kerana beroleh bantuan barangkali, dan saya yang masih dengan akal yang berlegar-legar mencari pasti. Cerita saya berlalu tanpa sebarang jawapan hingga ke tengahari.

Kisah ini melekat di hati dan mengubah sudut pandang saya selepas apa yang seterusnya terjadi.

Lewat tengahari saya menerima SMS dari lelaki tersebut menyatakan rasa terima kasihnya kerana membantu dan memaklumkan beliau sudah mengembalikan wang yang saya pinjamkan ke dalam akuan saya beserta sedikit 'imbuhan lebih' tanda terima kasih. SMS itu umpama dentuman guruh di hati yang saya tidak boleh ceritakan kesannya. Saya pantas bergegas ke ATM dan memeriksa akaun.

Semuanya benar! Wang saya beserta imbuhannya sekali!

Hari saya selepas itu menjadi sangat panjang dan penuh dengan penyesalan, penilaian ke atas tabiat buruk saya sendiri dan muhasabah diri kerana sibuk 'memilih untuk membantu'. Asalnya berkira-kira untuk membantu, saya akhirnya jadi tidak 'gamak' untuk menyimpan semua duit itu lagi. Semuanya harus kembali 'diberi' kerana ia bukan duit saya lagi.

KENAPA BERKONGSI?

Sangat berat untuk berkongsi sebelum ini tetapi saya akhirnya terbuka hati untuk sama-sama berkongsi pengajaran dari 'peringatan' yang dihadirkan kepada saya di hari Jumaat tersebut. Kisah ini sudah berlalu hampir setahun dan saya banyak belajar darinya. Dia hadir dalam kisah hidup saya hanya untuk 15 minit tetapi pengajarannya saya bawa sampai bila-bila … TAK PERLU MEMILIH UNTUK MEMBANTU. BERLAPANG DADA LAH BILA MEMBERI …

Thank you my muslim brother ...

Thursday, January 19, 2012

'Memilih Untuk Membantu'

8 APRIL 2011 - Hari ini saya keseorangan memandu ke tempat kerja kerana isteri bercuti.

Perjalanan ke tempat kerja dari rumah melalui Lebuhraya MEX biasanya lancar tanpa sebarang gangguan. Namun berbeza pagi ini, saya dikejutkan dengan deretan kenderaan yang tersusun kaku tidak bergerak sebaik sahaja saya melepasi Plaza Tol Cyberjaya. Deretan kenderaan yang beratur panjang sesayup mata memandang tak nampak seakan mahu berinjak. Semuanya 'membatu' keras di atas lebuhraya tiga lorong itu. Saya terdetik kesal kerana tidak nampak kesesakan tersebut sebelum melepasi plaza tol, namun pasrah yang saya bakal tersekat bersama-sama ratusan kenderaan lain. Deretan lampu merah nampak tidak berkelip menandakan saya akan melekat lama didalam barisan.

Lama menunggu, saya mula terganggu dan tidak keruan. Tersangkut sebegini bermakna saya akan lewat tiba di tempat kerja dan mungkin terpaksa meletak kereta ditempat letak kereta berbayar yang sememangnya menjadi igauan ngeri di tempat kerja saya. Tak mahu berterusan menunggu saya bulat tekad untuk menghimpit ke kiri dan berhenti rehat di Hentian Rehat Seri Kembangan. Daripada jemu dan membuang waktu menunggu, lebih baik saya mengisi perut dengan sarapan pagi.

Berlengah-lengah bersarapan, saya menanti kesesakan reda sebelum memulakan semula perjalanan ke pejabat.

Sekitar 20 minit berlalu keadaan nampak semakin pulih. Saya menggalas beg bergegas ke kereta. Menuruni anak tangga, saya dikejutkan oleh hon kereta berhampiran dengan tangan melambai-lambai di tingkap. Saya menghampiri kereta tersebut tanpa sebarang syak. Melalui tingkap kereta yang luas terbuka, seorang lelaki muda sedikit berusia daripada saya menegur dan menerangkan tujuan beliau 'memanggil saya'. Beliau di dalam kesesakan dan meminta bantuan sekiranya saya sudi membantu. Minta dipinjamkan sedikit wang kerana beliau tiada langsung wang dikocek untuk membayar tol.

Saya jadi bingung kerana di depan saya adalah seorang lelaki yang nampak serba tampan dengan pakaian yang kemas dan segak. Tambahan lagi beliau di dalam kereta yang lebih elok dan lebih baik dari kereta saya sendiri. Saya jadi keliru. Perasan dengan wajah hairan saya yang tak boleh disimpan-simpan, beliau menjelaskan panjang lebar keadaan beliau sambil menunjukkan saya kad pengenalan dan kad nama beliau untuk meyakinkan saya. Orangnya bukan calang-calang malah berjawatan agak tinggi, yang tambah menjadikan saya serba hairan dan keliru. Fikiran jadi berbelit-belit dan hilang dalam mentafsirkan logik situasi yang saya alami. Wang yang diminta bukanlah sebanyak mana, namun saya jadi buntu dek mencari 'kewarasan berfikir' dan mencari keyakinan bahawa ini adalah situasi yang 'benar'.

Saya jadi berfikir panjang. Sangat panjang sehingga memaksa beliau memberitahu supaya saya 'google' sahaja namanya atau isterinya di internet. Saya pantas menurut dan senarai carian yang terhasil di Google panjang berjela dengan kedua-dua nama berderet terpapar. Benar wajahnya memang dihadapan saya dan saya jadi 'tambah tenggelam' dalam kekeliruan saya.

Selepas saya kira lebih lima belas minit, beliau tampak sangat berharap dan saya jadi tersentak bila beliau berkata ...

"Macam nilah, trust me as your muslim brother. Borrow me the money and give me your account number. I will return to you the money today …"

Perlukah saya bantu?

Monday, January 2, 2012

Bangunlah Adik ... Babah Rindu ...

Bilik kecil ini sejuknya mencengkam sampai ke tulang. Baju tebal dan sarung kaki tak daya menebat suhu dingin yang menular sampai ke hujung kaki. Tapi bukan rasa sejuk yang menusuk hati ...

Bilik ini sepi tak bersuara. Sunyi dinihari hanya diganggu bunyi mesin yang bercerita entah apa celotehnya. Yang menggamit mata hanyalah garisan-garisan hijau, biru dan kuning yang turun naik sepanjang masa. Sesekali bacaan merah yang berkedip meresahkan mata, jiwa dan raga. Meski mengantuk, mata melekat pada bacaan yang bercerita ... cerita sengsara bertarung melawan dugaan yang menimpa ...

Masih terbaring tak bermaya di atas katil adalah dia ... dunia saya dan permata hati dan jiwa. Macam mana hendak digambarkan rasa melihat dia dengan wayar penuh didada. Dengan tiub yang bukan satu dua, menembusi kulit dan rongga masuk kedalam badan. Dengan luka melata di serata pelusuk anggota. Bermacam cecair, ubat, platlet dan entah apa saling mengambil giliran melalui picagari, tiub dan jarum yang serba ada. Semuanya, buat hati rasa kerdil dengan ujian yang Esa ...

Terperosok di sudut ini adalah saya. Menanti dia bangun dan senyum semula. Kerana dia saya harungi semuanya. Bangunlah adik ... Babah rindu ...