8 APRIL 2011 - Hari ini saya
keseorangan memandu ke tempat kerja kerana isteri bercuti.
Perjalanan ke tempat
kerja dari rumah melalui Lebuhraya MEX biasanya lancar tanpa sebarang gangguan.
Namun berbeza pagi ini, saya dikejutkan dengan deretan kenderaan yang tersusun
kaku tidak bergerak sebaik sahaja saya melepasi Plaza Tol Cyberjaya. Deretan
kenderaan yang beratur panjang sesayup mata memandang tak nampak seakan mahu
berinjak. Semuanya 'membatu' keras di atas lebuhraya tiga lorong itu. Saya
terdetik kesal kerana tidak nampak kesesakan tersebut sebelum melepasi plaza
tol, namun pasrah yang saya bakal tersekat bersama-sama ratusan kenderaan lain.
Deretan lampu merah nampak tidak berkelip menandakan saya akan melekat lama
didalam barisan.
Lama menunggu, saya
mula terganggu dan tidak keruan. Tersangkut sebegini bermakna saya akan lewat
tiba di tempat kerja dan mungkin terpaksa meletak kereta ditempat letak kereta
berbayar yang sememangnya menjadi igauan ngeri di tempat kerja saya. Tak mahu
berterusan menunggu saya bulat tekad untuk menghimpit ke kiri dan berhenti
rehat di Hentian Rehat Seri Kembangan. Daripada jemu dan membuang waktu
menunggu, lebih baik saya mengisi perut dengan sarapan pagi.
Berlengah-lengah
bersarapan, saya menanti kesesakan reda sebelum memulakan semula perjalanan ke
pejabat.
Sekitar 20 minit
berlalu keadaan nampak semakin pulih. Saya menggalas beg bergegas ke kereta.
Menuruni anak tangga, saya dikejutkan oleh hon kereta berhampiran dengan tangan
melambai-lambai di tingkap. Saya menghampiri kereta tersebut tanpa sebarang
syak. Melalui tingkap kereta yang luas terbuka, seorang lelaki muda sedikit
berusia daripada saya menegur dan menerangkan tujuan beliau 'memanggil saya'.
Beliau di dalam kesesakan dan meminta bantuan sekiranya saya sudi membantu.
Minta dipinjamkan sedikit wang kerana beliau tiada langsung wang dikocek untuk
membayar tol.
Saya jadi bingung
kerana di depan saya adalah seorang lelaki yang nampak serba tampan dengan
pakaian yang kemas dan segak. Tambahan lagi beliau di dalam kereta yang lebih
elok dan lebih baik dari kereta saya sendiri. Saya jadi keliru. Perasan dengan
wajah hairan saya yang tak boleh disimpan-simpan, beliau menjelaskan panjang
lebar keadaan beliau sambil menunjukkan saya kad pengenalan dan kad nama beliau
untuk meyakinkan saya. Orangnya bukan calang-calang malah berjawatan agak
tinggi, yang tambah menjadikan saya serba hairan dan keliru. Fikiran jadi
berbelit-belit dan hilang dalam mentafsirkan logik situasi yang saya alami.
Wang yang diminta bukanlah sebanyak mana, namun saya jadi buntu dek mencari
'kewarasan berfikir' dan mencari keyakinan bahawa ini adalah situasi yang
'benar'.
Saya jadi berfikir
panjang. Sangat panjang sehingga memaksa beliau memberitahu supaya saya
'google' sahaja namanya atau isterinya di internet. Saya pantas menurut dan
senarai carian yang terhasil di Google panjang berjela dengan kedua-dua nama
berderet terpapar. Benar wajahnya memang dihadapan saya dan saya jadi 'tambah
tenggelam' dalam kekeliruan saya.
Selepas saya kira
lebih lima belas minit, beliau tampak sangat berharap dan saya jadi tersentak
bila beliau berkata ...
"Macam nilah,
trust me as your muslim brother. Borrow me the money and give me your account
number. I will return to you the money today …"
Perlukah saya bantu?
No comments:
Post a Comment